matlamat kehidupan

Wednesday, June 9, 2010

POLIGAMI DALAM UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM DI MALAYSIA

Dalam undang-undang keluarga Islam di Malaysia, poligami dibenarkan dengan syarat suami hendaklah mendapat kebenaran bertulis daripada Mahkamah Syariah terlebih dahulu. Ini diperuntukkan dalam seksyen 23(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984. Menurut seksyen 23(3) AUKI 1984, permohonan suami hendaklah dikemukakan kepada Mahkamah mengikut cara yang ditetapkan dan hendaklah disertai dengan suatu akuan. Akuan tersebut hendaklah mengandungi alasan-alasan mengapa perkahwinan poligami ini patut dan perlu, keadaan kewangan suami dengan memberi butir-butir komitmennya dan kewajipan dan tanggungan kewangannya yang patut ditentukan serta bilangan tanggungan termasuk orang yang akan ditanggungnya berikutan dengan perkahwinan baru yang dicadangkan. Selain dari itu pemohon juga kena menyatakan sama ada izin atau pandangan isteri atau isteri-isteri telah diperolehi mengenai perkara tersebut. Mahkamah dalam memberi pertimbangan akan mengambil kira empat syarat kebenaran untuk berpoligami sebagaimana yang diperuntukkan dalam seksyen 23(4) AUKI 1984, iaitu :

1. Perkahwinan yang dicadangkan itu adalah patut dan perlu memandang kepada keadaan isteri dari segi kemandulan, keuzuran jasmani, tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan, sengaja ingkar mematuhi untuk pemulihan hak-hak persetubuhan, atau gila.

2. Pemohon mempunyai kemampuan mengikut kehendak syarak untuk menanggung semua isteri dan tanggunggannya termasuk orang yang bakal ditanggungnya berikutan dari perkahwinan yang baru.

3. Pemohon berupaya memberi layanan sama rata kepada semua isteri mengikut kehendak hukum syarak.

4. Perkahwinan yang dicadangkan tidak akan menyebabkan darar syar’ie kepada isteri.
Persoalan sama ada keempat-empat syarat di atas perlu dipenuhi kesemuanya dalam satu-satu permohonan telah diputuskan dalam kes Aishah lwn Wan Mohd Yusof, [1990] 3 MLJ 1x dan [1991] JH VII, yang dibicarakan dalam Jawatan Kuasa Rayuan Mahkamah Syariah Selangor. Hakim membuat keputusan bahawa keempat-empat syarat yang disebut di bawah Sek. 23(4) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor adalah sama pentingnya dan hendaklah dibuktikan berasingan oleh pihak suami. Perkara sama juga telah diputuskan oleh Jawatankuasa Ulang Bicara Selangor dalam kes Rajamah lwn Abd Wahab, [1990] JH 171. Oleh sebab suami gagal membuktikan bahawa dia dapat memenuhi kesemua syarat dan keperluan dalam Sek 23(4) tersebut, Mahkamah menolak permohonan suami untuk berpoligami.Hakikatnya syarat yang dikenakan dalam undang-undang bukan bertujuan untuk
mengharamkan poligami kerana mengharamkannya bertentangan dengan hukum syarak. Namun ia dijadikan sebagai satu mekanisme untuk mengawal kaum lelaki daripada menyalahgunakan keharusan berpoligami sesuka hati mereka. Sebagai pengiktibaran yang paling baik dapat dilihat dalam kes Ruzaini lwn Nurhafizah, [2002] JH 79 memperlihatkan bagaimana adilnya hakim dalam membicarakan kes permohonan berpoligami. Walaupun mendapat keizinan dari isteri untuk berkahwin lagi satu, mahkamah tetap tidak meluluskannya kerana sangsi dengan kemampuan suami untuk berlaku adil dengan kedua-dua isteri dan tanggungan.
Seterusnya bagi mengelakkan penganiayaan terhadap wanita, AUKI 1984 juga
memperuntukkan penalti bagi lelaki yang tidak memperolehi kebenaran Mahkamah tetapi tetap juga berkahwin lagi secara poligami. Seksyen 123 menyebut bahawa lelaki yang berpoligami tanpa mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu dari Mahkamah adalah melakukan kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.Namun begitu, bilangan lelaki yang berkahwin poligami tanpa kebenaran mahkamah terus berlaku dan lebih banyak berbanding yang dilakukan mengikut prosedur mahkamah syariah. Contoh terbaru ialah perkahwinan di antara Datuk Noridan Spee Yee dan Siti Insiah Abdul Wahab yang dilakukan di Thailand seperti yang dilaporkan dalam Harian Metro bertarikh 20 Mac 2006. Pasangan tersebut asalnya dijadual bernikah di Padang Serai, Kedah tetapi gagal mendapat kebenaran Pegawai Agama Daerah Kulim akibat tidak menyerahkan dokumen yang diperlukan dalam permohonan poligami. Persoalannya ialah banyak masalah yang akan timbul kelak apabila pernikahan dibuat tetapi tidak didaftar dan disahkan oleh mahkamah. Antara masalah yang akan berlaku ialah status isteri muda dan juga anak-anaknya yang akan tergantung. Keadaan
menjadi lebih teruk apabila suami meninggal dunia yang mengakibatkan mereka tidak dapat menuntut harta pusaka disebabkan tidak ada bukti pernikahan.Selain itu, masalah yang mungkin berlaku ialah suami tidak boleh menjalankan tanggungjawab dengan sempurna. Sebagai contoh isteri muda hanya dapat berjumpa suami secara sembunyi-sembunyi seminggu ataupun sebulan sekali.
Akhirnya ini juga akan mempengaruhi perkembangan emosi isteri dan anak kerana merasakan kehidupannya tidak sama dengan orang lain dan ini akan mendatangkan pula masalah sosial.Bagi menjaga dan memelihara hak isteri daripada menjadi mangsa ketidakadilan oleh suami, undang-undang juga menerusi Seksyen 128 AUKI 1984 memperuntukkan bahawa seorang suami yang tidak memberi keadilan yang sewajamya kepada isteri telah melakukan satu kesalahan dan boleh didenda tidak lebih daripada satu ribu ringgit atau penjara tidak lebih daripada 6 bulan atau kedua-duanya sekali. Peruntukan ini selaras dengan ajaran Islam yang menekankan pentingnya kaum wanita itu dilindungi dari penyalahgunaan amalan poligami yang sememangnya dihalalkan ini. Penekanan perlu dibuat supaya suami memberikan keadilan yang secukupnya kepada isteri.



3 comments:

  1. Assalamualaikum Wbt
    Saya mahu bertanya hal poligami nie,skrg saya sudah bertunang,tapi tunang saya da minta izin dengan saya untuk madukan saya dengan perempuan lain,rasa mmg adil,baru bertunang da nak poligami...pa hukum nya???

    ReplyDelete
  2. poligami ini adalah nikah kali kedua...tidak jadi poligami kalo belum nikah...kalo xnikah lg mcmn nk penuhi syarat diatas bg org yg nk berpoligami...cik perlu tahu lebih jelas apa sebenarny tunang cik ni nak?dia faham ke poligami,poligami ini bukan sekadar meraikan nafsu semata-mata tetapi merangkumi pelbagai aspek termasuklah nafkah zahir.sekian

    ReplyDelete