matlamat kehidupan

Saturday, July 2, 2011

Cerita Pendek Berunsur Dakwah : Sebungkus Biskut





Kisah ini berlaku di salah satu lapangan terbang. Seorang wanita membeli sebungkus biskut dan disimpannya dalam beg tangannya. Sementara menunggu waktu berlepas, beliau singgah di sebuah restoran.
Wanita itu melabuhkan punggungnya di sebuah kerusi di restoran tersebut, dimana seorang lelaki sedia ada duduk di sebelah wanita tersebut.
Kebetulan tiada lagi tempat/ meja lain tanpa pelanggan. Wanita itu rasa tidak selesa, namun tetap memesan minuman dan setelah minuman dipesan dihidangkan diatas meja dihadapannya. Beliau mula membasahkan tekak dan mengunyah sekeping demi sekeping biskut daripada atas meja itu.

Wanita itu rasa amat geram dan tidak senang hati apabila lelaki di sebelahnya turut memakan biskut tersebut. Dalam hatinya berkata , "Sedapnya kamu memakan biskut aku tanpa meminta izin pun". Dan setiap kali wanita itu mengambil biskut,setiap kali itu jugalah lelaki itu mengambil dan memakannya.

Sakitnya hati wanita itu terhadap lelaki tersebut bukan kepalang. Bagaimanapun, lelaki itu kelihatan sangat ceria dan tersenyum lebar meskipun dia sedar wanita di sebelahnya sangat tidak senang dan memandang negatif kepadanya.

Sehingga tinggal sekeping biskut yang terakhir diatas meja itu dan kali ini wanita ini berhenti daripada mengambilnya. Dalam hatinya berkata : 'Aku mahu melihat apa lelaki itu buat pada biskut yang sekeping itu".
Setelah beberapa ketika, apabila difikirkan wanita itu tidak mahu mengambilnya, lelaki itu pun mengambil biskut itu dan dipatahkannya menjadi dua- sebahagiannya diberikan kepada wanita itu, manakala sebahagiannya lagi lalu dimakan. Bertambah-tambah sakit hati wanita itu.!

Setelah mendengar pengumuman penerbangan, wanita tersebut terus bangun menuju ke pesawat. Di dalam pesawat, wanita itu membuka beg tangannya dan alangkah terkejutnya , didalam beg tangannya masih ada biskut yang dibelinya tadi. Barulah wanita itu tersedar biskut yang dimakan tadi adalah biskut lelaki tadi!
Ya anda, apa bezanya wanita itu dan lelaki tersebut? Meskipun lelaki itu berkongsi biskutnya dengan wanita itu tetapi tetap ceria meskipun reaksi negatif wanita yang memakan biskutnya, bahkan sanggup berkongsi biskut yang terakhir.Sebaliknya wanita itu tidak gembira dan sakit hati justeru dibelenggu prasangka buruk.

Mengakhir coretan ini dan moral dari kisah ini ialah  jangan menilai buku berdasarkan kulitnya , begitu jugalah jangan mudah menilai orang dari luaran, apatah lagi kesannya menjadikan anda mudah berburuk sangka pada orang lain. Selalunya seseorang itu bukanlah sebagaimana yang kita sangkakan.

Renung-renungkan, fikir-fikirkan bersama.

Tuesday, June 14, 2011

SAJAK : Mati Itu Pasti

Mati itu pasti,
kembali padaNya suatu yang hakiki,
cara, bila dan bagaimana kita mati,
mungkin berbeza, bukan pilihan sendiri,
marilah kita teliti,
dengan mata hati,
panjangkan doa buat yang telah pergi,
usah ratapi dan kesali,
lepaskan 'dia' dengan redha dan rela hati,
jangan dilupai,
pupuklah cinta dalam hati,
hargailah dan sayangi,
mereka yang masih di sisi,
sementara waktu yang berbaki ini,
masih kita miliki.

PUISI : KECEKALAN

Ku gengam sejuta harapan
Untuk memulih semua keadaan
Ku cuba mencari di mana silapnya permulaan
Tak kesampaian yang dihajatkan
Berbekal keimanan
Tidak menoleh lagi kebelakang
Renungan hari – hari mendatang
Terlalu jauh lagi kecekalan
Yang diharapkan
Budi pekerti luhur, bukan menjadi ukuran
Mereka masih mengekal budaya lama
Lobi- melobi, domba – mendomba
Sudah menjadi perkara biasa
Kedamaian yang ku harapkan
Musnah hancur cita-cita dan impian
Bak kaca jatuh hancur berderai
Musnah hilang semua harapan ku pasrah ke hadrat ILAHI
Inikah suratan takdir!!!

Tuesday, January 18, 2011

Jadikan Allah 'Majikan Tertinggi'

Lalalala..Hari-hari kerja! Bosan dengan kerja...

Memang mengena lagu yang dinyanyikan oleh kumpulan Meet Uncle Hussein ini. Kadang-kala kita berasa penat dan bosan dengan pekerjaan yang sedang kita lakukan.
Mahu saja rasanya letak jawatan dan duduk di rumah 'goyang kaki'. Namun, apabila terbayangkan wang ringgit yang amat diperlukan dalam kehidupan, pantas saja digerakkan kaki yang terasa malas dan berat, melangkah ke tempat kerja. Mulut pula mula mengomel, "kalau tak kerja, macam mana la nak hidup..".  Inikah makna sebenar kerja pada kita?
Sejak dari kecil lagi, kita diajar membina impian kerjaya oleh ibu dan ayah. Malah, di sekolah juga para guru selalu meniupkan semangat kepada kita agar menjadi seorang yang mempunyai cita-cita. Pertanyaan yang wajib kita dengar saat semakin membesar, "dah besar nanti anak mama nak jadi apa?". Lalu, dari situ kita mula mencipta imaginasi tentang hebatnya untuk menjadi seperti apa apabila dewasa nanti. Tanpa diketahui maksud sebenarnya, lantang saja kita menjawab, "nak jadi cikgu!". Kini, tak disangka-sangka cita-cita itu tidak kesampaian walau kita telah melepasi puncak menara gading. Apakan daya, ini rezeki yang Allah tentukan.
Niat Pemangkin Semangat
Tidak berjaya menjadi seperti apa yang kita impikan sememangnya amat mengecewakan. Namun, mestilah diingat bahawa di mana jua kita diletakkan, di situlah rezeki kita dan tempat kita berusaha. Justeru, walau pekerjaan itu bukanlah bertepatan dengan minat kita sendiri, kita seharusnya mempunyai azam untuk bekerja dengan ikhlas, jujur dan memegang amanah tersebut dengan niat kerana Allah. Bukan sekadar bekerja kerana gaji atau lebih tepat lagi seperti yang selalu disebut, "nak hidup punya pasal..".
Setiap apa yang kita lakukan semuanya bermula dengan niat. Niat itulah yang menjadi titik mula bagaimana kita akan memikul tugas yang digalas. Niat bekerja kerana Allah akan memandu setiap perbuatan kita dalam menghasilkan mutu kerja yang cemerlang dan berkualiti. Seperti mana kita menyebut berulang kali Surah al-An'am ayat 162 di dalam solat,
"Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku untuk Allah, Tuhan sekalian Alam".
Kalimah yang kita ucapkan pada Allah dengan bersungguh-sungguh itu perlulah kita ingati ketika menjalankan pekerjaan duniawi. Kerja harus dianggap sebagai ibadah yang dimulakan dengan niat yang baik berserta istiqamah. Sabda Rasul SAW,
"Bahawa Allah mencintai seseorang yang apabila ia mengerjakan sesuatu kerja, ia laksanakan dengan cemerlang." (Hadis riwayat Abu Ya'la)
Dari kita merungut kemalasan dan mengenang nasib di pagi hari saat bangun tidur, adalah lebih baik jika kita berniat untuk bangun bekerja kerana Allah. Sudah pasti badan terasa lebih kuat, minda terasa lapang dan hati terisi dengan semangat yang positif. Simptom seperti makan 'gaji buta' dan 'curi tulang' pasti dapat dielakkan. Ada yang berkata, masalah di tempat kerja yang membuatkan semangat untuk menjalankan tugas terasa lemah dan minat yang sememangnya ada seakan hilang.
Jujur dan Istiqamah

Kadang-kala timbul masalah tidak 'sekepala' dengan rakan-rakan sekerja. Majikan pula selalu merungut ada saja perkara yang tidak kena. Inilah ujian dan dugaan di alam pekerjaan. Tidak mungkin kita boleh 'ngam' dengan semua orang disekeliling kita.
Apa yang membuatkan kita mampu bertahan dan terus bekerja dengan gembira adalah dengan menjadi seorang yang bijak mengawal keadaan. Berfikiran positif dan selalu memperbaiki diri adalah faktor utama menangani situasi ini. Jangan dek sedikit saja onak duri yang mendatang, mulalah merangka surat perletakkan jawatan!
Perkara yang paling menguji diri kita sebagai seorang pekerja juga adalah elemen kejujuran. Sukar untuk menjadi jujur walau tidak 'mengulat' selama satu minit sahaja.
Menyalahgunakan kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh syarikat untuk kepentingan sendiri. Kita anggapkan tiada siapa yang tahu dan melihat, jadi tidak apalah.
Kebetulan pula bos tidak datang, kita pun bersuka-suka dan tidak serius dalam bekerja. Ada juga yang buat kerja alai-balai kerana tidak suka pada majikan. Jadikanlah Allah sebagai 'majikan' tertinggi, maka kita akan jujur dalam menjalankan tugas.
Apabila niat bekerja kerana Allah, disulami dengan keikhlasan, kesungguhan dan istiqamah, mudah-mudahan setiap pergerakan kita bermula dari kita keluar rumah, semasa di tempat kerja sehinggalah perjalanan pulang ke rumah dikira sebagai ibadah di sisi Allah.
Ganjaran di dunia dan kemuliaan di akhirat itulah yang harus kita genggam sebagai matlamat dalam kerjaya. Firman Allah SWT,
"Maka apabila telah ditunaikan solat, bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah kurnia (rezeki) Allah dan ingatlah akan Allah sebanyak-banyaknya, mudah-mudahan kamu berjaya." (al-Jumu'ah: 10)
Apabila niat bekerja kerana Allah, disulami dengan keikhlasan, kesungguhan dan istiqamah, mudah-mudahan setiap pergerakan kita bermula dari kita keluar rumah, semasa di tempat kerja sehinggalah perjalanan pulang ke rumah dikira sebagai ibadah di sisi Allah.

Wednesday, January 12, 2011

Tazkirah: Larangan Ketawa Melampui Batas

Dalam sebuah hadith Rasulullah s.a.w. menyebut “Aku hairan orang yang tertawa dengan mulut yang terbuka penuh sementara ia tidak tahu apakah tuhan menyukai perbuatannya itu atau tidak“.

Rasulullah sendiri tidak pernah ketawa berdekah-dekah, hanya tersenyum sahaja samada senyum kecil atau senyum lebar.

Ada juga orang Islam yang akan terjatuh ke dalam neraka (sebelum dimasukkan ke dalam syurga), misalnya mereka yang kerjanya menjadi pelawak. Di dalam hadith disebut orang yang menggunakan mulutnya untuk membuat orang lain ketawa akan jatuh ke dalam neraka yang dalamnya 70 tahun perjalanan ke dasar neraka. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: 
“Tidaklah hasil tuaian lidah manusia itulah yang telah menghumbankan muka mereka ke dalam neraka?”(Hadis Riwayat At-Tarmizi, An-Nasai, Ibn Majah dan Ahmad).

“Daripada Bahz bin Hakim daripada bapanya daripada datuknya r.a, kata beliau : 
Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda : Celakalah bagi orang yang berkata-kata dengan suatu cerita bertujuan membuat orang ketawa, lalu ia menipu, maka celakalah dan celakalah baginya”.(Riwayat Abu Dawud, al-Tirmizi)

Kata Nabi s.a.w. , kalau kamu tahu apa yang aku tahu, kamu tidak akan ketawa. Rasulullah s.a.w. telah melihat dengan mata lendirnya sendiri Syurga dan Neraka semasa Mikraj. Nabi tidak ketawa, hanya senyum lebar sahaja.

Agama Islam adalah sesuatu yang serius , bukan untuk seronok-seronok, main-main dan bukan untuk dapat wang atau harta. Penyampaian ceramah agama juga kenalah serius, tidak boleh banyak lawak jenaka dan gurau senda. Riwayat Ibnu Abbas, tertawa dalam masjid menyebabkan gelap dalam kubur. Hendaklah masuk ke masjid dengan rasa hormat dan takutkan Allah. 

Baqarah [114]….tidak sepatutnya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dengan rasa penuh hormat dan takut kepada Allah.

Monday, January 3, 2011

Syaitan Itu Kreatif




Pernah satu ketika saya diminta belajar daripada syaitan oleh seorang yang ulama yang dihormati. Saya terkejut. Benarkah ini?

“Belajar tentang kreativiti dan inovasi syaitan menyesatkan manusia,” jelasnya.

Saya tersenyum. Ada kebenarannya. Syaitan begitu kreatif mencipta dan mempromosi kejahatan. Ada-ada sahaja cara dan jalannya. Tidak pernah kaku, jarang yang beku. Sentiasa ligat dan cepat. Sentiasa ada pembaharuan. Malangnya, acapkali orang yang memperjuangkan kebenaran…tidak se’dinamik’ dia. Tumpul kreativiti dan beku inovasi. Asyik-asyik yang semacam itu juga.

Begitulah. Semoga kisah dialog di bawah boleh dijadikan cabaran untuk minda bagi terus memperjuangkan kebenaran. Kita mesti lebih kreatif daripada syaitan!

KISAH TIDAK LAMA DULU

Bertemu dengannya dahulu merupakan satu penghormatan. Apa tidaknya, dia sudah berubah ke arah kebaikan.

“Mengapa tiba-tiba?” tanya saya.

“Hidayah bang…” jawabnya si dia pendek.

“Bagaimana dengan segalanya?” Risau saya dengan profesyennya.

“Allah ada. Allah akan membantu segalanya.”

“Syukur,” kata saya perlahan.

Setahun kemudian.

“Lihat ini..” kata seorang sahabat sambil menghulurkan sekeping gambar.

“Betul ke ni?”

“Apa kau ingat ini ‘super-impose’?”

Saya terdiam. Kaku.

“Mana pergi tudungnya?”

“Itu..” tuding jari saya kepada tudung merah di atas kepalanya.

“Itu tudung?”

“Yalah, bertudung tapi tidak menutup aurat.”

“Bertutup tapi terbuka, tahupun…” katanya seakan menyindir. 

Bila kenalan itu pergi, saya tatap sekali lagi gambar yang ditinggalkan. Kasihan saya melihat wajah si dia yang terbaru. Terasa, betapa kekadang hidayah datang dan pergi berselang-seli. Masih terbayang tangisannya tempoh hari, ketika menceritakan bagaimana terbuka pintu hatinya menginsafi dosa-dosa lampau.

“Bang saya insaf bang…“

Lantas, tanpa sesiapa yang memaksa… dia mengenakan tudungnya. Lengkap, labuh, menutup aurat berpandukan syariat. Tidak jarang, tidak ketat, tidak mengundang fitnah bertandang. Sempurna. Sejuk, mata memandang. Dingin kalbu merasakan. Betapa hidayah itu singgah tanpa mengira siapa, di mana dan bila? Dulu si dia terpilih, sekarang kembali tersisih?
Kini tiba-tiba segalanya semacam ‘ditarik’ kembali. Tudungnya makin singkat. Dari mulanya di bawah paras dada, naik ke paras leher dan akhirnya kembali membuka leher, dagu dan… Paling malang, tingkah yang dulunya mula terjaga, kini lepas bebas kembali. Kata sesetengah yang setuju, biarlah… itu lambang Islam dinamik. Bertudung tapi masih boleh meliuk-lentuk, terkinja-kinja dan bersuara manja. Yang penting hati… Asal hati baik, tidak mengapa. Yang penting isi, kulit tak apa. Kalau begitu kenapa dulu perlu bertukar kulit? Insaf dan taubat sahajalah, tak payah bertudung litup seperti kelmarin!

Saya teringat kuliah yang pernah disampaikan oleh seorang ulama satu ketika dahulu:

“Syaitan terlalu kreatif…” Kreatif? Bisik hati saya.

Kekadang syaitan tidak menghasut manusia meninggalkan daerah putih menuju daerah hitam… Tetapi dia mengujudkan lebih banyak daerah ‘grey’ – warna keperang-perangan, yang hakikatnya bukan lagi kebenaran.” Terfikir saya, inilah jerangkap kebatilan yang dianggap kebenaran. Topeng baik bagi melempiaskan kejahatan yang dulunya terpendam. Ya, syaitan terlalu kreatif. Ada-ada sahaja ‘was-was’ baru yang ditiupkan ke jiwa insan agar meminggirkan jalan Tuhan.

Hasilnya, sekarang kita dapat lihat bagaimana ada gadis bertudung di kalangan Mat Rempit. Ada wanita bertudung yang melalak dengan gaya bebas terbabas dari nilai akhlak dan kesopanan. Atau peragawati bertudung dengan langkah ‘catwalk’ dengan dada, ‘make-up’ galak sambil yang mengundang pesona dan ‘aura’ dosa. Dan lebih ‘daring’ lagi kita dapat lihat tarian ala-ala gelek oleh gadis bertudung… Atau sekarang pun sudah ada bunga-bunga munculnya Rockers wanita bertudung? Ah, apa ni? Daerah ‘grey’? Atau segalanya sudah hitam, kelam, kusam.

Teringat juga saya pesan daripada seorang yang saya sangat hormati kerana ilmu dan kewarakannya:

Tudung wanita itu ada empat… tudung pada wajahnya, tudung pada mata, tudung pada suara, tudung pada hati.” Apa ertinya? “Tudung pada wajah… jangan sampai wajahnya mengundang fitnah. Kecantikan adalah pingitan buat suami, bukan pameran untuk lelaki ajnabi. Tudung pada mata… jangan matanya memandang lelaki lain selain muhramnya. Solehah yang hakiki, tidak dipandang, tidak memandang. Tudung pada suara… jangan dilunak-lunakkan dengan tujuan memikat dan mempersona. Tudung pada hati… mengingati Allah… dengan tasbih Siti Fatimah, subhanallah, alhamdulillah dan Allahu Akbar…

“Jangan terlalu ekstrem,” tegur seorang kawan bila saya lontarkan pandangan betapa wanita bertudung masakini sudah semakin hilang ‘penghormatannya’ (baca betul-betul… bukan ‘kehormatan’). Bagi saya kuantiti orang bertudung meningkat tapi kualitinya merudum.”
“Bukan begitu. Menutup aurat ada tujuannya… tercapaikah tujuan dengan penutupannya. Jika tidak, hakikatnya mereka masih terdedah,” balas saya perlahan.

“Aku tak faham. Maksud kau?”

“Seperti juga solat. Tujuannya mengingati Allah, kesannya pasti dapat mencegah kejahatan dan kemungkaran. Begitu maksud Al Quran apabila menjelaskan tujuan solat didirikan.”

“Lantas?”

“Jika solat tidak mencapai tujuan pasti ada sesuatu yang menyimpang. Samalah seperti hukum menutup aurat, tujuannya menjaga akhlak dan kehormatan. Maknanya kalau sudah menutup aurat, tetapi masih tercalar akhlak dan kehormatan… tentu ada yang salah dalam penutupannya.”

“Jangan ektreem sangat. Tutup aurat bukan ertinya kita menutup keindahan. Tak salah berhias, menarik, cantik.”

“Keindahan mesti didasari oleh kebenaran. Ingat, setiap keindahan tidak semestinya satu kebenaran…”

“Jadi kebenaran menolak keindahan?”

“Keindahan itu satu kebenaran!” balas saya cepat. Ya, atas alasan bertudung tidak menafikan keindahan pelbagai ‘aksesori’ ditokok-tambah menjadikan tudung lebih dimertabatkan sebagai ‘fesyen’ orang ‘baik-baik’ dan orang ‘cantik-cantik’ berbanding syariat wanita yang beriman!

“Hormati, itukan era transisi” kata seorang sahabat seakan memujuk saya.

“Transisi? Apa maksud mu?”

“Sebelum lengkap bertudung… err… maksudku menutup aurat, biarlah mereka berskaf dulu. Tu pun dah baik daripada sebelumnya yang tak menutup kepala langsung.”

“Transisi, ke arah mana? Aku tidak bercakap tentang orang yang tak bertudung langsung. Tetapi aku bercakap tentang individu yang dulu tak bertudung, lepas tu bertudung, kemudian berskaf sahaja… ini transisi ke arah mana? Nak bertudung semula atau nak tak bertudung semula?”

Dia diam. Bungkam. Marah sayapun kerana sayang.

“Langkah pengalihan mesti diiringi oleh pengisian. Jangan tutup kepala sahaja, tetapi isi kepala yang ditutup itu dengan ilmu. Mereka yang tidak menghadiri majlis lebih 40 hari, hati menjadi gelap. Kemudian cari kawan-kawan yang sehaluan. Penghayatan agama kita dipengaruhi oleh kawan-kawan kita…”

“Kau kata mereka tidak ada ilmu?’”

“Bukan begitu. Menuntut ilmu mesti berterusan. When you stop learning, you stop leading– maksudnya, jika kita berhenti menuntut ilmu kita akan berhenti memimpin. Sekurang-kurangnya memimpin diri sendiri,” kata saya.

“Sekali lagi. Kau meragui ilmu mereka?.”

“Ada sebab untuk aku meraguinya? Maaf, aku pun bukan baik. Tetapi kita tidak boleh berdiam melihat kejahilan berkata-kata.”

“Maksud kau?”

“Ada yang berkata, dia masih menutup aurat kerana dia memakai rambut palsu! Bayangkan apa yang orang begini faham tentang hukum menutup aurat? Pernahkah dia mendengar tafsir Surah An Nur? Pernah dia belajar tafsiran hadis tentang aurat wanita Islam? Peliknya, suara semacam ini semakin nyaring sekarang.”



Aku diam. Tafakur. Semua itu imiginasi untuk tulisan ini semata. Namun itu bukan ilusi. Aku tidak pernah punya kesempatan untuk menuturkannya. Lalu Kemudi Hati ini menjadi wadahku berbicara. Untuk diri, isteri, anak perempuanku dan anda wanita-wanita Islam semua. Antara syaitan bisu dan syaitan yang licik berkata-kata, kekadang kita jadi semakin bungkam… menjadi ‘malaikat’ yang diam? Oh, tidak… Rasul berpesan: katakan yang benar walaupun pahit!