matlamat kehidupan

Monday, October 25, 2010

Qanaah Dalam Kehidupan



Kita mungkin tidak sedar, dalam kehidupan kita hari ini, kita terlalu cenderung memilih sesuatu yang berharga, mewah, berjenama, tercanggih, terbaru, dan termoden semata-mata ingin mengikut trend yang digembar-gemburkan oleh pihak media dan Barat. Padahal, banyak lagi keperluan lain yang boleh kita isi, yang boleh kita dapat manfaat berbanding dengan jenama dan trend yang hanya sementara kegemilangannya. Boleh dikatakan bahawa kebanyakkan kita terpalit dalam fitnah dunia yang terlalu berpaksikan individualism dan materialism. Maka, salah satu langkah yang boleh kita ambil dalam membentuk peribadi yang lebih mensyukuri nikmat kurniaan Allah dengan melatih diri kita dengan sifat Qanaah.
Apakah makna Qanaah? Secara literal, Qanaah boleh kita ambil sebagai sifat puas hati atau redha dengan segala nikmat kurniaan Allah. Namun, wujud persoalan adakah Qanaah ini membawa diri kita kepada malas berusaha, tidak berdaya saing, kurang produktiviti atau cukuplah berusaha setakat ala kadar melepas batuk di tangga? Maka, inilah penilaian yang salah yang kita perlu perjelaskan dalam diri kita tentang konsep Qanaah itu yang sebenar.
Sekiranya kita memahami dan menghayati sifat Qanaah secara total, kita pasti menjadi seorang Muslim yang hebat pemikirannya, berdaya saing, memberi sumbangan yang bermanfaat kepada masyarakat. Kerana apa? Kerana secara zahirnya, sifat Qanaah ini tidak menghindarkan kita dari terus berjaya dalam aspek kehidupan. Sekiranya seseorang itu tidak dapat apa yang dikehendaki, maka tidak pula muncul perasaan iri hati, dengki atau benci kepada orang lain yang diberikan rezeki dan nikmat daripada Allah Taala kepada mereka, sebaliknya menjadikan dia sebagai hamba yang lebih bersyukur, lebih menghargai segala yang diberikan. Fokus dan matlamat masih utuh dan yakin bahawa Allah telah menetapkan rezeki tertentu untuk hamba-hambanya. Bukankah ini memperlihatkan Islam itu indah, maka tidak sepatutnya hari ini wujud sentimen umat Islam ini mundur dan tidak mampu maju.
Namun adakah sifat Qanaah ini menjadi satu “culture” dalam masyarakat Islam hari ini. Mari kita lihat beberapa contoh di Malaysia, bagaimana sukarnya masyarakat Melayu yang secara perundangannya beragama Islam itu untuk maju dan bersaing dengan masyarakat lain di Malaysia. Kita diperlihatkan dan didedahkan oleh akhbar akan sifat iri hati dan dengki sesama Muslim itu sendiri. Akhirnya masyarakat kita masih kekal ke belakang dek arus pembangunan yang telah jauh ke hadapan meninggalkan pembangunan akhlak dan pemikiran kita yang masih belum menampakkan kematangan.
Sebagai contoh lain, sekiranya hari ini sahabat baik kita membeli kasut berjenama Adidas, amat cantik dan bergaya. Adakah patut bagi kita untuk membeli kasut yang baru yang lebih bergaya semata-mata untuk menandingi kasut baru rakan kita tadi? Padahal kasut kita masih boleh dipakai dan duit itu masih boleh kita simpan untuk kegunaan masa hadapan atau digunakan pada tempat yang lebih penting. Memang kadang-kadang kita terasa teruja melihat kecanggihan, keselesaan pada ciptaan-ciptaan manusia yang sukar kita elakkan. Namun, perlu kita ukur kepentingannya mengikut keadaan, situasi, dan manfaat serta faedahnya kepada diri kita dan orang lain. Inilah sifat Qanaah yang sepatutnya kita aplikasikan dalam kehidupan, bersederhana dalam segala aspek. Indahkan Islam ini sekiranya kita hayati.
Timbul pula, persoalan di mana adakah sifat Qanaah ini membuat kita sebagai orang yang ketinggalan zaman, selekeh, tidak terurus dan sebagainya. Maka sifat Qanaah ini pula tidak pula menjuruskan seorang muslim itu kepada menjadi seorang yang terlalu kedekut dan kikir. Sehinggakan menimbulkan persepsi buruk dalam masyarakat, menyusahkan diri dan sebagainya. Kita harus sedar bahawa sifat Qanaah ini jauh sama lagi dapat kita samakan dengan dengan kedekut dan kikir. Dua benda yang berbeza.
Maka, secara keseluruhan sifat Qanaah antara pengawal diri ini dengan tidak membawa kita kepada pembaziran yang berlebih-lebihan atau pun membawa kita kepada nilai kedekut atau kikir. Bersederhanaan dan bersyukur adalah kunci yang membawa kepada Qanaah dalam kehidupan kita.
Mari kita rujuk beberapa potong ayat al-Quran dan hadis yang memjelaskan tentang sifat mulia ini :-
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:”Makanan untuk seorang mencukupi untuk dua orang dan makanan untuk dua orang mencukupi untuk empat orang dan makanan untuk empat orang mencukupi untuk lapan orang.”
Riwayat Bukhari dan Muslim
"Dan mereka - hamba-hamba Allah yang berbakti - itu apabila menafkahkan hartanya, maka mereka itu tidak melampui batas - terlalu boros - dan tidak pula bersikap kikir, tetapi pertengahan antara keduanya itu."
Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi SAW sabdanya: "Bukannya yang dinamakan kaya itu kerana banyaknya harta tetapi yang dinamakan kaya - yang sebenarnya - ialah kayanya jiwa."
(Muttafaq 'alaih)
Daripada Hakim bin Hizam r.a., Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya harta itu umpama benda yang kehijau-hijauan - yakni enak dirasakan dan nyaman dipandang, juga manis. Maka barangsiapa yang mengambilnya itu dengan jiwa kedermawanan - daripada orang yang memberikannya serta memintanya itu dengan tidak memaksa, tentulah harta itu memperoleh barakah daripada Tuhan, tetapi barangsiapa yang mengambilnya itu dengan jiwa kelobaan - atau ketamakan, maka tiadalah barakah Tuhan dalam harta tadi. Ia umpama seseorang yang makan, namun tidak pernah kenyang.”
(Muttafaq ‘alaih).
Maka, dapat kita simpulkan bahawa sifat qanaah ini merupakan salah satu sifat yang memperlihatkan peribadi seorang muslim itu sendiri. Apatah lagi, sifat qanaah ini membolehkan seseorang itu mengawal nafsunya, perlakuannya, pemikirannya, dan emosinya dalam mengatasi kehendak dan kemahuan yang menuruti hati yang didukung oleh nafsu semata-mata. Lebih-lebih lagi sifat qanaah ini melahirkan rasa syukur kita pada Allah atas segala kurniaan dan nikmat yang telah diberikan. Seterusnya menjadikan kita seorang muslim yang berjaya yang mempunyai ciri-ciri orang yang bersyukur dan zuhud.
Insyaallah.

No comments:

Post a Comment